KUALA LUMPUR: Bermula tahun depan, pemandu berhemah di negara ini bakal mendapat ganjaran rebat petrol dan tol.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata cadangan itu dikemukakan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) hari ini.

Katanya, cadangan berkenaan amat baik dan Kementerian Pengangkutan komited untuk mempertimbangkannya dalam usaha melahirkan pemandu berkhemah, sekali gus menangani isu keselamatan dan kemalangan di jalan raya.

“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.

“Sewaktu melawat sekitar pameran tadi, wakil PETRONAS memberitahu saya mengenai program ganjaran kepada pemandu berhemah. Sebahagian konsepnya akan dilaksanakan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS’18) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Hadir sama, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad.

Anthony Loke berkata, beliau mempercayai pendekatan ‘carrot and stick’ (ganjaran dan hukuman) paling berkesan dalam mendidik seseorang menjadi pemandu berhemah.

“Kita perlu memberi ganjaran untuk memotivasikan pemandu bagi mengubah tingkah laku mereka kepada berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya. Pada masa sama, jika mereka enggan berubah, kita akan kenakan hukuman,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata difahamkan PETRONAS sedang membangunkan aplikasi yang boleh menguji tingkah laku seseorang pemandu.

“Apabila aplikasi berkenaan dihidupkan ia akan menilai sama ada anda pemandu yang baik atau sebaliknya.

“Jika mencapai skor tertentu dalam tempoh sebulan misalnya, maka anda layak mendapat rebat petrol dan bayaran tol.

“Inilah dikatakan sebagai ‘carrot’, supaya pemandu berhemah di jalan raya dan saya yakin ia amat digemari rakyat Malaysia,” katanya.

Awal September lalu, Anthony Loke dilapor berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberikan diskaun bayaran insurans kereta kepada pemandu berhemah mulai tahun hadapan dan akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Sementara itu, beliau memuji penganjuran KLIMS’18 yang memberi peluang rakyat khususnya pencinta automotif melihat koleksi kereta terkini, motosikal dan kenderaan komersial dipamerkan.

Katanya, pada masa sama pengunjung turut berpeluang melihat teknologi dan trend terkini industri automotif termasuk aspek keselamatan.

Anthony Loke, dalam ucapan perasmian, berkata jumlah kenderaan di negara ini dianggarkan akan meningkat kepada 31 juta menjelang 2030 dan kerajaan melakukan berbagai persediaan bagi menghadapinya termasuk isu keselamatan dan pencemaran akibat pelepasan hidrokarbon.

“Jumlah kenderaan sentiasa meningkat sebab ada permintaan daripada rakyat yang mahu memiliki kenderaan sendiri. Kerajaan memang menggalakkan pengangkutan awam namun bukan dasar kami menghalang pemilikan kereta,” katanya.

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad, Berita Harian 23 November 2018

Similar Articles

DriveMark now protects the life of safe drivers

Good news everybody! We woke up last month with a dream. DriveMark should not just encourage and reward safe drivers. We want to go a step further; DriveMark should also...

Tips & Tricks: Improved tracking on Redmi/Xiaomi Note 4 and similar models using MIUI Global 8.5 skin

This week, we are adding a new documentation that will resolve issues with Redmi/Xiaomi Note 4 phones. This article article is meant for Redmi/Xiaomi smartphone users who are facing problems...

Insurance: A fairer way to price motor insurance premiums

The second phase of the liberalisation of motor insurance, which kicked off on July 1, has seen the introduction of usage-based insurance (UBI) in the Malaysian market. The product allows...

The history behind DriveMark mobile telematics app

“Asians Cant Drive” Do you know that Malaysia has one of the highest road fatalities in the world? For every 100,000 citizens, 24 Malaysians are killed on the road. In...

KATSANA signs MoU to drive forward Usage-based Insurance

KUALA LUMPUR: Usage-based Insurance (UBI) is a platform that is no longer foreign in this “Internet of Things” (IoT) world. However, not many in Malaysia are familiar with this mechanism...