KUALA LUMPUR: Bermula tahun depan, pemandu berhemah di negara ini bakal mendapat ganjaran rebat petrol dan tol.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata cadangan itu dikemukakan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) hari ini.
Katanya, cadangan berkenaan amat baik dan Kementerian Pengangkutan komited untuk mempertimbangkannya dalam usaha melahirkan pemandu berkhemah, sekali gus menangani isu keselamatan dan kemalangan di jalan raya.
“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.
“Sewaktu melawat sekitar pameran tadi, wakil PETRONAS memberitahu saya mengenai program ganjaran kepada pemandu berhemah. Sebahagian konsepnya akan dilaksanakan tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS’18) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Hadir sama, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad.
Anthony Loke berkata, beliau mempercayai pendekatan ‘carrot and stick’ (ganjaran dan hukuman) paling berkesan dalam mendidik seseorang menjadi pemandu berhemah.
“Kita perlu memberi ganjaran untuk memotivasikan pemandu bagi mengubah tingkah laku mereka kepada berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya. Pada masa sama, jika mereka enggan berubah, kita akan kenakan hukuman,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata difahamkan PETRONAS sedang membangunkan aplikasi yang boleh menguji tingkah laku seseorang pemandu.
“Apabila aplikasi berkenaan dihidupkan ia akan menilai sama ada anda pemandu yang baik atau sebaliknya.
“Jika mencapai skor tertentu dalam tempoh sebulan misalnya, maka anda layak mendapat rebat petrol dan bayaran tol.
“Inilah dikatakan sebagai ‘carrot’, supaya pemandu berhemah di jalan raya dan saya yakin ia amat digemari rakyat Malaysia,” katanya.
Awal September lalu, Anthony Loke dilapor berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberikan diskaun bayaran insurans kereta kepada pemandu berhemah mulai tahun hadapan dan akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Sementara itu, beliau memuji penganjuran KLIMS’18 yang memberi peluang rakyat khususnya pencinta automotif melihat koleksi kereta terkini, motosikal dan kenderaan komersial dipamerkan.
Katanya, pada masa sama pengunjung turut berpeluang melihat teknologi dan trend terkini industri automotif termasuk aspek keselamatan.
Anthony Loke, dalam ucapan perasmian, berkata jumlah kenderaan di negara ini dianggarkan akan meningkat kepada 31 juta menjelang 2030 dan kerajaan melakukan berbagai persediaan bagi menghadapinya termasuk isu keselamatan dan pencemaran akibat pelepasan hidrokarbon.
“Jumlah kenderaan sentiasa meningkat sebab ada permintaan daripada rakyat yang mahu memiliki kenderaan sendiri. Kerajaan memang menggalakkan pengangkutan awam namun bukan dasar kami menghalang pemilikan kereta,” katanya.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad, Berita Harian 23 November 2018
Similar Articles
Car Accident Detection and Emergency Alert using DriveMark mobile app
When DriveMark was launched back in 2017, it carried our aspiration to make the roads safer for everyone. From then on, we introduced several features to encourage drivers to be...
Cara Meredah Banjir – Panduan Keselematan
Berdasarkan satu kajian oleh Centers for Disease Control and Prevention (USA), hampir separuh dari kematian yang berpunca dari lemas adalah disebabkan kenderaan yang meredah air banjir. Pemandu yang tersekat dalam banjir...
Fresh Grad & Kereta Baru, amboi, amboi…
Kalau duduk rumah sewa, tapi pakai kereta mewah, amboi, amboi.. Itulah ayat tipikal generasi milenia kita yang kurang skill ukur baju di badan sendiri. Tapi to be honest, maybe bukan...
KATSANA drives usage-based insurance in Malaysia
Katsana, a technology startup in Malaysia, is evolving its business from helping insurers recover stolen cars to generating data from user behavior that has implications beyond auto insurance. The company...
Your Friends Can Be Heroes Too!
Hello Heroes! You know we already love you for keeping Malaysia road safe. You also know our fantastic challenges with super fantastic rewards. But, you know what more best? To...
Temui DriveMark di Kuala Lumpur Run 2017
Drivemark telah berkolaborasi dengan Hausboom semasa Kuala Lumpur Run 2017 yang diadakan pada hari Ahad, 13 Ogos 2017. Para peserta bersama pingat yang dimenangi. Team Drivemark mempromosikan app Drivemark yang...